Kerajaan Perkenal Langkah Menangani Kos Sara Hidup Rakyat – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA, 11 Mac – Kerajaan Perpaduan terus komited dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat dengan memperkenalkan pelbagai langkah strategik.
Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) selepas mempengerusikan mesyuarat pertama NACCOL, hari ini.
Ujarnya, tiga isu utama yang dibincangkan termasuk kenaikan premium insurans dan takaful perubatan, status bekalan makanan sempena Ramadan dan Aidilfitri, serta inisiatif peningkatan pendapatan rakyat.
“Antara yang dibentangkan adalah strategi komprehensif oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani kenaikan premium insurans dan takaful perubatan serta kesihatan, status bekalan makanan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang dibentangkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta inisiatif pendapatan rakyat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Salah satu isu utama yang dibincangkan adalah peningkatan inflasi kos perubatan, yang menyebabkan peningkatan berterusan dalam tuntutan insurans kesihatan dan takaful,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ujarnya, bagi memastikan kestabilan bekalan makanan sepanjang bulan Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan 11 komoditi agromakanan utama seperti beras, kelapa, ayam, dan telur ayam adalah mencukupi.
“Kerajaan juga akan memperluaskan program jualan murah seperti Jualan Rahmah Madani, Jualan Pra Syawal di Pasar Tani, dan Jualan Agro Madani bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan menjelang musim perayaan.”
Katanya, dalam usaha memperkukuh perlindungan sosial dan memadankan pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan meningkatkan inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat.
Ini termasuk mempercepatkan pemadanan pekerjaan, menyediakan insentif kepada majikan yang mengambil pekerja daripada golongan yang memerlukan, serta memperkukuh perlindungan sosial bagi memberi jaminan ekonomi lebih baik kepada pekerja dan keluarga mereka.
“Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani cabaran kos sara hidup, termasuk melalui program peningkatan pendapatan, jualan murah, dan bantuan tunai.
“Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya lagi.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Menteri dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pegawai kanan kementerian, wakil kerajaan negeri, pihak industri, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil pengguna. – UMNO Online