Felcra Berhad Terus Cemerlang, Manfaat Besar Untuk Industri – Ahmad Jazlan

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Felcra Berhad mencatatkan keuntungan sebanyak RM521.9 juta bagi tahun 2024 terus meningkat 138.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata pencapaian cemerlang ini didorong oleh beberapa faktor utama termasuk kenaikan harga minyak sawit mentah Crude Palm Oil (CPO) di pasaran dunia.

“Peningkatan keuntungan boleh agih bagi tahun 2024 sebanyak 138.4 peratus, mencecah RM 521.9 juta, disebabkan oleh dua faktor utama yang pertama faktor yang tidak boleh dikawal seperti kenaikan harga Crude Palm Oil (CPO) mengikut pasaran dunia.

“Harga minyak sawit mentah bergantung kepada faktor luar seperti permintaan global, serta didorong dasar perdagangan antarabangsa yang baik oleh Kerajaan Malaysia Madani.

“Felcra Berhad terus komited dalam meningkatkan pulangan kepada peserta dan memperkukuh sektor perladangan negara melalui strategi perniagaan yang mampan serta responsif terhadap perubahan pasaran global,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, pencapaian ini mencerminkan kejayaan Felcra dalam mengadaptasi strategi bagi menghadapi cabaran industri sekaligus memberikan manfaat lebih besar dan menyumbang pembangunan sektor perladangan negara.

Mengulas lanjut kata Ketua UMNO Bahagian Machang lagi, terdapat beberapa faktor yang boleh dikawal terutamanya bagi pengurusan ladang yang baik serta penjimatan kos.

“Selain faktor harga pasaran, keuntungan turut meningkat hasil daripada kecekapan pengurusan ladang yang berjaya mengurangkan kos operasi sebanyak RM401 per-hektar.

“Pengurusan kos yang lebih cekap serta pemantauan yang ketat terhadap perbelanjaan baja, racun perosak dan tenaga buruh membantu mengurangkan kos keseluruhan.

“Peningkatan hasil per hektar didorong oleh pengurusan tanaman yang efisien memastikan hasil sawit lebih tinggi tanpa peningkatan kos yang mendadak,” jelas beliau.

Secara keseluruhan kata beliau lagi, peningkatan keuntungan ini bukan sahaja didorong oleh faktor pasaran luar tetapi juga oleh kawalan dalaman yang baik.

“Ini jelas membuktikan bahawa kecekapan operasi boleh meningkatkan keuntungan walaupun harga pasaran tidak menentu.

“Dengan peningkatan kecekapan tenaga kerja da latihan serta penggunaan sistem pengurusan tenaga buruh yang lebih efisyen dapat mengurangkan pembaziran sumber manusia,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit