Banjir: Siti Aminah Tumpu Perhatian Pada Rakyat Berdepan Situasi Sukar

BEAUFORT, 11 Mac – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching, menumpukan sepenuh perhatian kepada rakyat yang terkesan akibat banjir yang melanda daerah itu sejak tiga hari lalu.

Beliau telah turun padang malah membatalkan semua program rasmi di Kuala Lumpur demi bersama masyarakat yang sedang berhadapan dengan situasi sukar ini.

Ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, beliau turun padang sejak awal pagi bagi meninjau keadaan serta melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

“Setakat jam 11 pagi pada 10 Mac, sebanyak lapan PPS telah dibuka untuk menempatkan seramai 1,788 mangsa, dan pendaftaran masih berterusan kerana proses pemindahan masih giat dijalankan,” katanya.

Dalam lawatan sepanjang hari tersebut, Siti Aminah berkesempatan mengunjungi beberapa PPS bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir dan memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Antara pusat pemindahan yang dikunjungi termasuk Dewan Datuk Sri Panglima Dun Banir, Dewan Bisaya, Pusat Pemindahan Selagon, Dewan Prima Lumat, Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort 3 dan Sekolah Kebangsaan Pekan Beaufort.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir, termasuk anggota polis, pegawai kebajikan, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta kakitangan hospital dan kesihatan yang bertugas tanpa henti bagi memastikan keselamatan serta keselesaan mangsa di pusat pemindahan.

Siti Aminah turut menasihati penduduk agar terus bersabar menghadapi dugaan ini, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Beliau berharap agar keadaan kembali pulih dengan segera supaya semua mangsa banjir dapat pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, pihak berkuasa terus memantau keadaan banjir dan memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka yang terjejas. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit