Wanita UMNO Lembah Pantai Jayakan Program Bubur Lambuk Sempena Ihya Ramadan

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Perkarangan Madrasah Nurul Huda di Apartment Abdullah Hukum menjadi saksi kepada kejayaan Program Bubur Lambuk dan Bubur Pulut Hitam Durian sempena Ihya Ramadan Wanita UMNO Lembah Pantai 2025.

Program ini dianjurkan oleh Wanita UMNO Bahagian terbabit yang diketuai, Datin Nor Asyikin Jaafar dalam usaha memperkukuhkan ukhuwah sesama masyarakat bersempena mengambil keberkatan bulan Ramadan.

Jelas Nor Asyikin, program ini adalah acara tahunan yang telah digerakkan sejak tiga tahun lalu dengan menghimpunkan seramai 70 orang sukarelawan Wanita yang bergotong-royong menyediakan 700 pek bubur lambuk dan 300 pek bubur pulut hitam durian.

“Penganjuran program seumpama ini amat penting dalam usaha memperkukuh ikatan silaturrahim selain menggalakkan semangat kebersamaan antara pemimpin dan penduduk setempat.

“Ini adalah antara kolaborasi bersama Wanita Cawangan-Cawangan UMNO dengan masyarakat di sini yang menjadi bukti kesepaduan dalam komuniti,” katanya kepada UMNO Online selepas program terbabit, semalam.

Maklum beliau, pek bubur ini kemudiannya diagihkan kepada semua Cawangan Wanita UMNO di Bahagian Lembah Pantai untuk edaran berbuka puasa.

“Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama beramal dalam bulan yang penuh keberkatan ini.”

Beliau turut mealahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk barisan Exco dan AJK Wanita Bahagian, Wanita Cawangan-cawangan serta Biro Muslimah Madrasah Nurul Huda.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Tengku Zuhri Tengku Aziz; Ketua UMNO Cawangan Kampung Haji Abdullah Hukum, Mohd ‘Azuz Abd Razak; Pengerusi Madrasah Nurul Huda, Mohamad Arif Mohd Yunus serta pemimpin masyarakat dari Parlimen Lembah Pantai. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit