Hidangan ‘Jeliro Molek’, Rapatkan Lagi Ukhwah Di Majlis Iftar – Azmawi Fikri
GUA MUSANG, 10 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berpeluang berbuka puasa bersama komuniti di Surau Ar-Raudhah, Taman Kesedar Putra Dua (2) dalam suasana penuh kemesraan dan persaudaraan.
Menurutnya, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga medan mengeratkan silaturahim sesama masyarakat.
“Hidangan yang disediakan memang ‘jeliro molek’, tetapi yang lebih menyentuh hati adalah semangat gotong-royong dan keikhlasan semua yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.
“Dari mereka yang memasak, menyusun tempat, hingga yang sekadar hadir untuk berkongsi nikmat berbuka bersama amat dihargai dan setiap seorang memainkan peranan yang besar.
“Semoga Ramadan terus menjadi bulan yang menyatukan hati-hati kita, menguatkan rasa syukur, dan menyuburkan kasih sayang dalam komuniti,” katanya.
Mengulas lanjut Azmawi juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan menyeru masyarakat agar terus mengamalkan semangat memberi dan berkongsi dalam kehidupan seharian.
“Moga setiap amalan kita diterima oleh Allah dan diberikan ganjaran yang berlipat ganda. Teruskan semangat memberi, berkongsi, dan saling mendoakan.
“Insya-Allah… kita akan bertemu lagi di majlis-majlis yang akan datang,” ujarnya.
Majlis tersebut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat yang turut serta dalam aktiviti kebajikan dan sumbangan kepada golongan memerlukan. – UMNO Online