2018 UMNO Sabah Hampir Dibubar, Hari Ini Meningkat Sekali Ganda – Bung Moktar
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Peningkatan sekali ganda ahli UMNO di Sabah hari ini membuktikan bahawa parti berkenaan terus menjadi ancaman kepada parti-parti lain di negeri berkenaan walaupun pada 2018 yang lalu hampir sahaja dibubarkan.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata jumlah berkenaan amat membanggakan kerana pada 2018 yang lalu jumlah keahlian parti hanyalah sekitar lebih 300 ribu dan hari ini meningkat kepada lebih 600 ribu.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, inilah yang membuatkan parti berkenaan menjadi sasaran kepada parti-parti lain di Sabah walaupun UMNO digelar dan ditohmah dengan pelbagai tohmahan termasuklah ‘parti Malaya’ dan sebagainya lagi.
“Sebenarnya UMNO Sabah ini menjadi ancaman kepada parti-parti yang lain kerana pertama, walaupun kita dilabel dengan persepsi kononnya kita ini parti Malaya, dan dilabel kita ini pangkhianat namun realitinya dari segi keahlian kita makin meningkat.
“Apabila UMNO hampir dibubarkan pada 2018 yang lalu, keahlian kita tinggal hanya 390 ribu, tapi hari ini keahlian UMNO Sabah telah mencecah lebih 600 ribu ahli. Jadi ini menunjukkan bahawa setiap hari akan ada sahaja mereka yang menyertai UMNO,” katanya kepada UMNO-Online
Bung seterusnya menambah perkara berkenaan juga dapat dilihat menerusi program Gerak17 yang dilaksanakan di peringkat bahagian dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memperlihatkan sambutan yang cukup menggalakkan.
“Dan maklum balas daripada program-program yang kami laksanakan melalui Gerak17 amat positif. Kita telah menjelajah 26 DUN dan hasilnya, Alhamdulillah amat baik sekali dengan penyertaan serta sokongan masyarakat setempat.
“Ketika saya berada di Sebatik bersama kepimpinan UMNO yang lain, masyarakat setempat cukup ramai dan kesanggupan mereka bersama-sama dalam program berkenaan amat kita hargai. Ini membuktikan bahawa sokongan terhadap UMNO-BN.
“Masing-masing turun bersama dengan kita ebab mereka telah rindu UMNO selama ini yang hari ini tidak lagi menjadi kerajaan. Mereka merasakan sudah sampai masanya untuk mereka menaikkan UMNO itu sendiri bukan sahaja di Sebatik, tetapi di semua kawasan, insya-Allah,” tambahnya lagi.- UMNO Online