“Kerajaan Yang Ada Pada Hari Ini Bukan Kerajaan Yang Bermusim” 

KUALA BERANG, 9 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan pusat bukanlah sebuah kerajaan bermusim yang hanya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat ketika pilihan raya sahaja.

Mengambil contoh mengenai pengumuman dividen kepada peserta FELCRA Berhad yang dibuat di luar musim pilihan raya, Presiden UMNO itu berkata ia merupakan satu bukti Kerajaan Madani sentiasa konsisten utamakan kepentingan rakyat.

“Adakah dividen yang baik ini kerana esok ada pilihan raya? Kerajaan yang ada pada hari ini bukan kerajaan yang bermusim, kerajaan Persekutuan bukan kerajaan yang bermusim.

“Kerajaan yang baik tidak ada musim… tidak ada musim pilihan raya atau lepas pilihan raya atau sebelum pilihan raya. Ini kerajaan yang istiqamah dan konsisten sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Itulah buktinya apabila FELCRA yang dipimpin oleh pemimpin dan tenaga pengurusan, ahli-ahli Lembaga pengarah serta anak-anak syarikat yang baik,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan di Kampung Kuala Akob, di sini, Sabtu petang.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Majlis Penasihat Giat MARA Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan FELCRA Berhad meraih keuntungan boleh agih bagi tempoh akhir 2024 berjumlah RM192.51 juta menerusi Projek Peserta FELCRA yang menyaksikan lonjakan sebanyak 154 peratus atau RM116.3 juta berbanding tempoh sama pada 2023.

Jelasnya lagi, keuntungan dijana daripada 583 projek itu akan diagihkan secara berperingkat bermula semalam kepada 68,400 peserta.

Peningkatan itu juga katanya menjadikan purata pendapatan bersih setahun bagi seorang peserta meningkat kepadaa RM4,420.

Demikan juga ujarnya, kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif yang baik untuk rakyat.

“Kita lihat bahawa Kerajaan Madani telah melakukan yang terbaik di dalam tempoh yang sesingkat ini. Sebanyak 173 inisiatif telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

“Kita sebagai rakyat mesti bersyukur bukan melontarkan kebencian, bukan menyimbah fitnah terhadap semua inisiatif yang dilakukan,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit