Isu 3R Tidak Membawa Manfaat, Fokus Pada Kestabilan dan Kemakmuran – Mohd Rafi
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menyeru orang ramai agar tidak memainkan isu sensitif berkaitan kaum, agama, dan institusi diraja (3R), yang seringkali menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata bahawa isu-isu tersebut hanya akan membawa kepada polarisasi, mengikis nilai-nilai perpaduan, serta menjejaskan keharmonian yang sudah sekian lama dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Ujarnya, perkembangan semasa mengenai isu 3R ini tidak memberi sebarang faedah positif kepada negara, malah ia lebih mengundang masalah sosial dan politik yang berlarutan.
“Dalam konteks semasa, dengan pelbagai cabaran ekonomi, politik, dan sosial yang sedang dihadapi, maka sewajarnya agar tumpuan lebih diberikan kepada usaha-usaha yang boleh memajukan negara dan memperkukuhkan hubungan antara semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
“Tidak kira apa bangsa sekalipun, kita harus berusaha untuk mengelakkan perbincangan yang sensitif dan berpotensi menimbulkan provokasi. Sebaliknya, kita mesti sama-sama memupuk perpaduan dalam menghadapi cabaran besar yang dihadapi oleh negara,” ujar beliau kepada UMNO Online.
Beliau juga menyentuh mengenai pentingnya kesejahteraan negara yang hanya dapat dicapai melalui kestabilan politik dan sosial, serta kerjasama yang erat antara semua lapisan masyarakat.
“Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, saya menyeru masyarakat agar menggunakan bulan ini sebagai peluang untuk melakukan refleksi diri, meningkatkan amal kebajikan, dan memupuk sikap saling hormat menghormati serta memahami antara satu sama lain.
“Marilah kita bersama-sama memanfaatkan bulan yang mulia ini kepada kebaikan dan melaksanakan amalan yang mempereratkan perpaduan, sekali gus mewujudkan masyarakat yang harmoni dan makmur,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, Malaysia perlu memastikan kestabilan politik dan sosial sebagai teras utama dalam mencapai kemakmuran.
“Oleh itu, tindakan yang negatif dan memecahbelahkan masyarakat dengan isu-isu sensitif hanya akan merugikan negara dan memperlahankan kemajuan yang telah dicapai,” katanya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan.
Terdahulu, Mohd Rafi bersama dalam satu program Sentuhan Kasih yang diadakan oleh Sekretariat Veteran UMNO Labuan, mengunjungi rumah Nasib Hassan, seorang Orang Kurang Upaya yang telah menghadapi cabaran besar sejak lahir.
Katanya, program ini bertujuan untuk memberikan sumbangan wang tunai kepada beliau dan kakaknya agar dapat meringankan beban mereka.
“Dalam pertemuan tersebut, Saudara Nasib menyatakan impiannya mahukan kerusi roda elektrik tetapi dia tidak berkemampuan. Beliau kasihan kepada kakaknya yang tidak boleh melakukan kerja apa-apa dan terpaksa menjaganya setiap hari.
“Atas dasar jadikan politik sebagai satu ibadah menjadi pegangan saya dan UMNO Labuan, kepercayaan saya rezeki yang datang pada kita bukan semua milik kita, kita kongsi rezeki untuk menjadikan impian Saudara Nasib menjadi realiti. Bersama rombongan kami sampaikan kerusi roda elektrik yang saya tempah dari Kuala Lumpur.” – UMNO Online