Tengku Haphiz Terkilan, Ada Usaha Gagalkan Majlis Berbuka Puasa Dengan TPM
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera melahirkan rasa terkilan ekoran ada pihak yang sedang mengadu domba untuk menggagalkan Majlis Santunan Kasih Ramadan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama warga Kuala Berang petang ini.
Terdahulu, petang semalam, beliau mendapat makluman daripada pihak FELCRA selaku penganjur utama majlis tersebut bahawa mereka mendapat arahan daripada Kerajaan Negeri Terengganu untuk membatalkan majlis yang dijadual di pekarangan Masjid Kampung Kuala Akob.
Tegas Tengku Haphiz, perkara tersebut sangat-sangat mengecewakan kerana persiapan melibatkan sambutan seramai 2,000 orang telah siap.
“Perkara ini sangat-sangat mengecewakan kerana ia dikatakan melibatkan UMNO sedangkan UMNO bukanlah penganjur utama. UMNO adalah sebahagian daripada jawatankuasa kecil yang terlibat dalam sambutan dan jemputan berkaitan program ini dan kebetulan TPM adalah Presiden UMNO, jadi adab orang datang ke rumah kita adalah kita sambut dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi beliau adalah ayahanda kepada UMNO.
“Saya difahamkan juga dakwaan daripada pihak Kerajaan Negeri bahawa program ini tidak dinyatakan awal maka saya nak nyatakan di sini dan makluman daripada FELCRA bahawa membuat perbincangan dengan Kerajaan Negeri hampir sebulan yang lepas dan beberapa mesyuarat berkaitan majlis ini telah dibuat dan diperhaluskan secara bersama serta mendapat persefahaman secara bersama.
“Jadi alasan bahawa ia melibatkan UMNO atau UMNO adalah penganjur utama adalah tidak benar kerana kita tidak terlibat menjadi penganjur utama,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat melalui hantaran di media sosialnya.
Beliau percaya, kehadiran TPM ke Kuala Berang tentunya akan memberi beberapa manfaat kepada rakyat.
“Terima kasih YAB Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sudi melapangkan jadual untuk hadir ke Hulu Terengganu. Saya percaya, beberapa manfaaat untuk rakyat terutama orang Kuala Berang Kite akan diumumkan oleh beliau Rezeki orang kampung kita.
“Ada yang sedang mengadu domba untuk menggagalkan majlis ini dengan macam-macam fitnah di media sosial, saya syorkan hentikanlah. Ramadan ni bulan penyatuan ummah. Carilah seberapa banyak barakah dan kemuliaan ibadah.”
Beliau juga memaklumkan bahawa program tersebut tetap diteruskan dengan lokasinya dialihkan ke sebelah masjid berkaitan.
“Program ini terpaksa mengalihkan tapak ke sebelah masjid. Persiapan ini melibatkan kehadiran masyarakat setempat yang dianggarkan berjumlah 2,000 orang, maka bayangkan bagaimana persiapan yang terpaksa dibuat dalam tempoh 24 jam untuk beralih tempat,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menyerus masyarakat setempat untuk hadir beramai-ramai ke majlis berbuka puasa hari ini bertempat bersebelahan Masjid Kampung Kuala Akob, Kuala Berang.
“Bulan-bulan Ramadan ini sepatutnya kita perlu kurangkan berkaitan politik dan lebih-lebih lagi program ini langsung tidak melibatkan apa-apa agenda politik dan ucapan-ucapan yang berbaur politik.
“Kami mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan kemaafa kepada penganjur utama FELCRA dan agensi yang terlibat,” katanya lagi.
Dilaporkan, Ahmad Zahid telah memulakan siri jelajah beliau menerusi Majlis Santunan Kasih Ramadan dengan yang pertama ke Melaka di Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang Masjid Tanah..– UMNO Online