Raikan Ramadan, UMNO Lahad Datu Santuni Warga Tempatan

LAHAD DATU, 8 Mac – Dalam semangat menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan, UMNO Bahagian Lahad Datu telah menganjurkan dua program serentak yang bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan di kawasan tersebut.

Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul melahirkan kesyukuran kerana dua program yang dilaksana dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Terdahulu, kerjasama yang erat antara UMNO Bahagian Lahad Datu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Naim Mokhtar, telah membuahkan hasil yang sangat bermakna apabila dapat menyempurnakan penyampaian bantuan pakaian sekolah kepada seramai 450 pelajar dari sembilan buah sekolah di sekitar daerah Lahad Datu.

“Bantuan tersebut memberikan kegembiraan kepada pelajar-pelajar yang memulakan sesi persekolahan, selain memberikan sokongan kepada ibu bapa yang mungkin berdepan dengan cabaran kewangan,” katanya kepada UMNO Online.

Selain itu, kerjasama dengan Felcra Baligian Sdn Bhd yang dipengerusikan, Jeffery Nor Mohamed, turut menyaksikan penyerahan bantuan wang tunai kepada 80 orang asnaf di kawasan tersebut.

Katanya, turut menerima manfaat adalah 120 pelajar dari empat buah sekolah, tiga buah masjid, sebuah surau, serta dua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan.

“Ini adalah antara usaha UMNO Bahagian Lahad Datu agar bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak meringankan beban kehidupan para penerima yang kurang berkemampuan.

“Semoga dengan bantuan yang disampaikan, kehidupan warga Lahad Datu akan lebih mudah dan selesa dalam menjalani kehidupan seharian. Mengambil keberkatan Ramadan ini diharap ia akan membawa kebahagiaan, kedamaian, dan kejayaan kepada semua pihak, serta memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan dalam kalangan komuniti.”

Dalam program berlainan, Sharif Musa bersama kepimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu juga turut mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan di daerah tersebut.

“Kunjungan ini tidak hanya melawat, tetapi juga turut berusaha untuk berkongsi rezeki dengan peniaga-peniaga yang mengusahakan jualan berbuka puasa,” katanya.

Jelas beliau, secara keseluruhannya, program yang telah dilaksanakan ini menunjukkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi daripada kepimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu dan para penyumbang.

“Insya-Allah, inisiatif sedemikian akan diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit