Ahmad Zahid Hadir Santunan Kasih Ramadan Terengganu
HULU TERENGGANU, 8 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO sebentar tadi hadir bagi mengimarahkan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Kampung Kuala Akob, Kuala Berang, di sini.
Kehadiran Ahmad Zahid pada jam 6.05 petang itu diiringi dengan alunan selawat ke atas Nabi SAW dari kumpulan nasyid tempatan.
Ketibaan Ahmad Zahid juga dinanti-nantikan oleh warga desa yang berhimpun sejak awal jam 5 petang malah berpeluang untuk beramah mesra dengan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.
Dengan kehadiran hampir 2,000 orang yang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar pusat tahfiz dan asnaf serta masyarakat setempat, majlis tersebut disambut dengan penuh kesederhanaan dan harmoni.
Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Felcra Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Majlis Penasihat Giat Mara Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Turut diadakan majlis penyampaian cek replika agihan keuntungan boleh agih akhir projek peserta Felcra tahun 2024 dan sumbangan kepada beberapa buah masjid dan surau serta institusi kebajikan.
Tanpa dilupakan, sumbangan duit raya turut diberikan kepada anak-anak yatim dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Ajil dan Telemong.
Menurut penganjur, apa yang istimewa semua menu utama bagi jamuan buka puasa di Majlis Santunan Kasih Ramadan ini dimasak oleh masyarakat kampung secara gotong-royong.
Seusai majlis jamuan buka puasa, Ahmad Zahid dan jemputan menunaikan solat maghrib berjemaah di masjid berhampiran.
Ahmad Zahid turut menunaikan solat isyak berjemaah dan seterusnya solat sunat tarawih di Kuala Telemong di sini.
Semalam, Ahmad Zahid telah hadir di Majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan di Masjid Tanah, Melaka. – UMNO ONLINE