PRK DUN Ayer Kuning Ditetapkan Pada 26 April – SPR

PUTRAJAYA, 7 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 12 April dan 22 April.

“Daftar pemilih pilihan raya bagi PRK DUN Ayer Kuning mengandungi 31,897 pemilih. PRK DUN Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK DUN Ayer Kuning di Menara SPR di sini hari ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit