Siasatan Terhadap Ismail Sabri: Beri Ruang SPRM Jalankan Secara Telus, Bebas – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah wang tunai dan jongkong emas seperti dilaporkan baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak.
“UMNO memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti ini dengan siasatan SPRM yang melibatkan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu.
“UMNO menegaskan bahawa parti ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.
“UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya berhubung siasatan SPRM terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Terdahulu, SPRM dilapor menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). – UMNO Online