Mohamad Hasan Berbuka Puasa Bersama Orang Rembau, Sampaikan Bantuan
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berbesar hati melapangkan masa beliau untuk berbuka puasa bersama rakyat di kawasan.
Beliau yang juga Menteri Luar Negeri dan isteri berbuka puasa di Masjid Kariah Kampung Selemak dan seterusnya ke Masjid Kariah Kampung Padang Lebar untuk menunaikan solat Isyak dan sunat tarawih.
“Selesai berbuka puasa di Masjid Kariah Kampung Selemak, saya dan isteri ke Masjid Kariah Kampung Padang Lebar pula untuk berjemaah solat Isya’ dan solat tarawih di sana,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kesempatan itu juga dimanfaatkan beliau dengan memberikan bantuan kepada golongan memerlukan seperti golongan asnaf, anak yatim, warga emas dan individu kurang berkemampuan.
Bantuan itu diberikan bagi meringankan beban mereka pada Ramadan ini dan Syawal yang bakal menjelma.
“Dapat juga menyampaikan bantuan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim dari kampung-kampung sekitar kariah,” ujar beliau.
Mohamad juga menggunakan peluang tersebut untuk beramah mesra bersama mereka di samping bertanya khabar.
Dalam pada itu rata-rata daripada penerima bantuan turut sama meluahkan kesyukuran dengan sumbangan yang diberikan serta kesempatan bertemu Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau yang disifatkan mereka sebagai berjiwa rakyat.
Turut hadir ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan ADUN Kota, Suhaimi Aini. – UMNO Online