Kerajaan Terus Komited Perkukuh Institusi Parlimen – Azalina

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kerajaan hari ini kekal komited untuk memastikan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 memperkukuh institusi Parlimen Malaysia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini bermakna usaha memperkasakan Parlimen tidak berakhir dengan kelulusan RUU ini tetapi akan diteruskan dalam fasa kedua sepanjang tempoh peralihan.

Menurut beliau setiap undang-undang yang digubal harus mengambil kira pelbagai faktor bagi memastikan semua aspek dipertimbangkan secara menyeluruh.

“Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa terbuka untuk menambah baik undang-undang yang berkaitan dengan Perkhidmatan Parlimen.

“Saya dan pasukan saya bersama-sama kumpulan nukleus yang bakal ditubuhkan akan mengadakan sesi libat urus yang komprehensif dan holistik bersama Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat, agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dan badan bukan Kerajaan serta pertubuhan Masyarakat MADANI.”

Terangnya, ini termasuk dengan Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Institute for Political Reform and Democracy (REFORM), Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA) dan Rasuah Busters dalam tempoh 12 bulan serta membawa cadangan pindaan selanjutnya.

“Ini adalah seiring dengan agenda reformasi yang terus memperkukuh kedaulatan undang-undang dan nilai-nilai  demokrasi matang di negara kita,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, semalam.

Jelas Azalina lagi, antara perkara-perkara yang akan diteliti adalah penubuhan sebuah Jawatankuasa Parlimen Bersama yang berperanan menasihati MPP mengenai hal ehwal pentadbiran dan kewangan Parlimen.

Ujarnya, jawatankuasa ini akan memastikan segala keputusan berkaitan pengurusan Parlimen dibuat dengan lebih telus dan bertanggungjawab.

“Keduanya keperluan bagi MPP untuk membentangkan laporan tahunan serta penyata kewangan secara berkala. Ini bertujuan untuk meningkatkan tahap akauntabiliti serta memastikan Parlimen berfungsi dengan lebih cekap dan berintegriti.

“Ketiganya penetapan kewajipan terhadap semua pihak Perkhidmatan Parlimen untuk bertindak secara adil, saksama dan sentiasa mengutamakan kepentingan Parlimen,” tambahnya.

Dalam pada itu Azalina turut menjelaskan perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Setiu mengenai jaminan  pandangan pembangkang dalam MPP yang mana ianya akan diberikan perhatian.

Malah katanya lagi  keputusan MPP tidak akan dibuat secara berat sebelah, mekanisme semak dan imbang akan tetap wujud melalui kewujudan MPP ini, di mana keputusan-keputusan berkaitan pentadbiran Parlimen akan dibuat secara kolektif dan tidak hanya bergantung kepada seorang individu.

“Pihak pembangkang akan turut menganggotai MPP dan akan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan secara kolektif dengan anggota-anggota lain,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit