KDN Kaji Keperluan Tambah Pusat CIC Di Pantai Timur Sabah – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dan mengkaji keperluan penambahan Child Interview Center (CIC) di Pantai Timur Sabah dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, CIC merupakan sebuah pusat khas diwujudkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan temuduga terhadap kanak-kanak yang menjadi saksi atau mangsa jenayah.

“CIC telah ditubuhkan pada 12 Februari 2002 dan lokasi pertama adalah di Kuala Lumpur. Pada mulanya ia kenali sebagai Child Protection Unit (CPU) sebelum di tukar kepada Child Interview Center (CIC).

“CIC merupakan sebuah pusat khas diwujudkan oleh PDRM untuk menjalankan temuduga terhadap kanak-kanak yang menjadi saksi atau mangsa jenayah, terutama dalam kes penderaan, eksploitasi seksual, keganasan rumah tangga serta kes-kes jenayah lain melibatkan kanak-kanak.

“Tujuan utama penubuhan CIC adalah untuk mengurangkan trauma dialami oleh kanak-kanak yang menjadi mangsa atau saksi kejadian jenayah ketika keterangan mereka diambil oleh pihak polis. Selain itu, ia membolehkan kanak-kanak memberi keterangan dalam suasana yang selesa dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, terdapat 34 pusat CIC di seluruh negara termasuklah tiga di Sabah dan Sarawak.

“Pada ketika ini sebanyak 34 Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di seluruh negara telah diwujudkan. Dari jumlah tersebut, terdapat 28 pusat CIC di Semenanjung Malaysia, tiga di Sarawak dan tiga di Sabah.

“Untuk makluman, dua daripada tiga pusat CIC di Sabah adalah di Kawasan Pantai Timur Sabah iaitu di Sandakan dan Tawau. Justeru, Kementerian ini berpandangan dua pusat CIC di Pantai Timur Sabah tersebut adalah memadai.

“Walau bagaimanapun, kementerian ini akan meneliti dan mengkaji keperluan penambahan pusat CIC di Pantai Timur Sabah dari masa ke semasa,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit