Isu Bekalan Air Sabah Semakin Kritikal, Mendesak – Bung Moktar
KOTA KINABALU, 6 Mac – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali lagi mengingatkan kerajaan negeri Sabah agar lebih serius menangani isu bekalan air yang sudah lama menjadi masalah besar kepada rakyat.
Menurut beliau isu ini semakin kritikal dan mendesak menjelang perayaan Aidilfitri yang memerlukan bekalan air mencukupi.
“Selain daripada gangguan bekalan air yang berterusan, satu lagi masalah yang semakin membimbangkan adalah kegiatan penyambungan haram dan curi air yang berleluasa di beberapa kawasan. Ini bukan sahaja memburukkan lagi masalah kekurangan bekalan air, tetapi turut merugikan kerajaan dan rakyat yang bergantung kepada bekalan air yang sah.
“Kepada Jabatan Air Sabah, sejauh mana siasatan terhadap kegiatan penyambungan haram ini sudah berjalan? Berapa ramai yang telah didakwa atas kesalahan ini?
“Adakah Jabatan Air Sabah akan terus berselindung di sebalik alasan bahawa kegiatan penyambungan haram adalah punca kekurangan bekalan air, sedangkan masalah ini telah wujud sejak sekian lama dan belum ada penyelesaian yang nyata?” soal beliau menerusi satu kenyataan.
Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata kerajaan negeri perlu bertindak tegas terhadap masalah penyambungan haram ini dengan memperkukuhkan penguatkuasaan dan menyelesaikan isu akar umbi yang menyebabkan isu ini berlaku.
Katanya pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu mencari penyelesaian berkesan untuk meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem pembekalan air di seluruh negeri.
“Rakyat tidak seharusnya terus dibebani dengan masalah bekalan air yang tidak mencukupi, terutama sekali di musim perayaan. Kerajaan negeri harus segera menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan memastikan tidak ada lagi alasan yang membenarkan kekurangan bekalan air untuk terus berlaku.
“UMNO Sabah akan terus mendesak agar kerajaan negeri mengambil langkah segera untuk menangani masalah ini demi kesejahteraan rakyat Sabah,” ujar beliau. – UMNO Online