RUU Perkhidmatan Parlimen Titik Bersejarah, Kembalikan Kebebasan Institusi
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berpandangan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen bertepatan pada masanya bagi mengembalikan kebebasan Parlimen.
Menurut beliau ia sekaligus membuktikan agenda Kerajaan Madani untuk melaksanakan reformasi institusi dengan pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Melihat penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 ini sebagai suatu titik bersejarah yang mana kebebasan institusi Parlimen menjadi realiti sesuai dengan konsep pemisahan kuasa di antara cabang Kerajaan berasaskan sistem Westminster.
“Dengan RUU ini, Perkhidmatan Parlimen akan direalisasikan menjadi suatu skim perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam di bawah Akta ini.
“Bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan awam parlimen, pilihan diberikan kepada pegawai lantikan tetap (Parlimen dan Gunasama) untuk berkhidmat di Perkhidmatan Parlimen atau kembali kepada Ketua Perkhidmatan asal.
“Namun, difahamkan, hanya 33 peratus pegawai bersetuju kekal di Perkhidmatan Parlimen, manakala baki 67 peratus pegawai ingin kembali ke perkhidmatan asal mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat semalam sebagai membahas RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
Bagaimanapun Shamshulkahar turut sama menyentuh skim Perkhidmatan Parlimen yang akan menjadi suatu skim tertutup berbeza dengan perkhidmatan awam.
“Dari segi jangka masa panjang, bagaimanakah kita boleh mengekalkan institusi Parlimen ini bersifat dinamik dan inovatif dalam keadaan anggota Perkhidmatan Parlimen menjadi skim tertutup, yang mana para penjawatnya tidak terdedah kepada pengalaman daripada Kementerian ataupun agensi Kerajaan yang lain,” ujar beliau. – UMNO Online