RUU Perkhidmatan Parlimen Perkukuh Institusi Demokrasi, Bina Pentadbiran Lebih Telus – Azalina

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen sebagai usaha yang membawa signifikasi besar kepada demokrasi berparlimen di Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata dengan kembalinya Perkhidmatan Parlimen, ia bukan sahaja mengembalikan autonomi institusi Parlimen, tetapi juga memperkukuh prinsip pemisahan kuasa yang menjadi teras kepada sistem demokrasi berperlembagaan.

“Dengan pengenalan RUU ini, Parlimen akan dapat berfungsi dengan lebih bebas, tanpa bergantung kepada cabang eksekutif, sekaligus memastikan peranan legislatif dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berwibawa.

“Langkah ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh institusi demokrasi dan membina sebuah sistem pentadbiran yang lebih telus serta bertanggungjawab,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika membentangkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan struktur yang lebih kukuh dan bebas, Parlimen akan dapat menjalankan tugas pengawasan dan perundangan dengan lebih berdaya saing, selaras dengan amalan terbaik di negara-negara demokrasi maju.

Tambah Azalina lagi, pelaksanaan ini bukan sekadar memperkenalkan semula satu sistem pentadbiran, tetapi mengorak langkah memperkasa demokrasi Malaysia untuk generasi kini dan akan datang.

Dalam pada itu beliau turut sama menggariskan beberapa prinsip utama yang telah diketengahkan di dalam RUU ini, antaranya menetapkan Perkhidmatan Parlimen ini sebagai satu perkhidmatan yang asing daripada Perkhidmatan Awam sebagaimana Fasal 2 RUU.

“Untuk makluman Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) mempunyai kuasa penuh untuk menentukan hala tuju Parlimen berdasarkan Fasal-Fasal 4(a), 4(b), 4(c) dan 4(d). Ini kerana, Ketua Pentadbir Parlimen di bawah Fasal-Fasal 11(4) dan 11(5) akan bertindak di bawah kuasa dan arahan MPP.

“MPP juga berkuasa penuh kepada seluruh pentadbiran Perkhidmatan Parlimen. Tambahan pula, MPP turut boleh menstrukturkan semula organisasi Perkhidmatan Parlimen dengan pertambahan fungsi dan perjawatan di bawa Fasal-Fasal 4(1) dan 4(2).

“Pada masa yang sama, Fasal-Fasal 4(1)(c) dan (d) memberi kuasa kepada MPP agar pengurusan Perkhidmatan Parlimen memberikan bantuan profesional kepada Ahli-Ahli Parlimen seperti khidmat penggubal undang-undang dan menyediakan para penyelidik yang mencukupi bagi ahli-ahli Parlimen daripada barisan kerajaan dan juga pembangkang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit