Ringankan Beban Rakyat… Jualan Kasih Johor Bakal Dilaksana Di 57 Lokasi – Zahari

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Jualan Kasih Johor bakal dilaksanakan di 57 lokasi sempena perayaan Aidilfitri untuk meringkan beban rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Kasap, Datuk Zahari Sarip.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar memaklumkan bahawa jualan tersebut akan dilaksanakan mulai 22 Mac sehingga 29 Mac 2025 meliputi seluruh kawasan DUN di Johor.

“Kerajaan Negeri Johor akan meneruskan pelaksanaan program Jualan Kasih Johor sebagai salah satu usaha dan komitmen untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya menjelang musim perayaan.

“Seperti perayaan-perayaan utama yang lain, Kerajaan Negeri Johor dan FAMA Negeri Johor sekali lagi akan menganjurkan program Jualan Kasih Johor sempena perayaan Aidilfitri tahun 2025. Ia akan dilaksanakan mulai 22 Mac hingga 29 Mac 2025 di 57 lokasi meliputi seluruh kawasan DUN di Johor.

“Pelancaran program bakal diadakan pada 22 Mac 2025 (Sabtu), 8.00 pagi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bandar Tenggara, Kota Tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Segamat berkata, Jualan Kasih Johor menawarkan potongan harga antara 50 hingga 70 peratus untuk barangan makanan komoditi keperluan asas rakyat.

“Program Jualan Kasih Johor menawarkan potongan harga sangat istimewa, iaitu antara 50 ke 70 peratus untuk barangan makanan komoditi yang menjadi keperluan asas rakyat. Antara komoditi yang menjadi keutamaan sempena Jualan Kasih Johor Aidilfitri adalah ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, serta minyak masak dua liter.

“Selain itu, FAMA juga turut menawarkan potongan harga untuk barangan keperluan makanan lain seperti daging lembu, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit dan produk-produk industri asas tani (IAT). Penganjuran kali ini menyasarkan lebih 200,000 orang pengunjung secara keseluruhan dan melibatkan lebih 300 orang usahawan tani.

“Bangsa Johor dijemput hadir untuk memeriahkan program Jualan Kasih Johor Aidilfitri dan mendapatkan barangan keperluan makanan tersebut dengan harga yang sangat istimewa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit