Malaysia Komited Bantu Gaza, Tentang Keras Pemindahan Paksa Rakyat Palestin – Mohd Alamin
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohd Alamin berkata Malaysia kekal komited dalam usaha membantu pembinaan semula Gaza seperti yang diumumkan Perdana Menteri, dan pada masa yang sama menentang keras sebarang cadangan pemindahan paksa rakyat Palestin.
Menurut beliau, dalam konteks bantuan pasca-konflik di Gaza, Malaysia kini sedang merangka kerjasama dengan Negara-negara sepemikiran serta pihak berkepentingan lain, untuk meneroka kerjasama dalam bidang-bidang kritikal, terutamanya perubatan, pendidikan, serta pemulihan dan pembangunan semula infrastruktur asas di Gaza.
“Tumpuan utama Malaysia adalah untuk memastikan pemulihan keperluan dan perkhidmatan asas dilaksanakan dengan kadar segera dengan harapan memberi rakyat Palestin peluang untuk bangkit semula, dengan kekuatan dan daya tahan jangka panjang.
“Walau bagaimanapun, Malaysia perlu mengambil kira situasi semasa yang tidak menentu di Gaza terutamanya apabila terdapat cadangan pemindahan paksa, atau dengan izin, forced displacement rakyat Palestin dari tanah air mereka,” katanya di Parlimen hari ini.
Terdahulu Senator Tuan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz Minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah mekanisme utama yang telah disusun oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu pembangunan semula Gaza serta perancangan kerjasama strategik dengan pihak antarabangsa, termasuk NGO dan pihak swasta untuk memastikan pembangunan semula Gaza dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Mohd Alamin seterusnya menambah pada masa yang terdekat, Malaysia akan mempengerusikan secara bersama dengan Jepun, Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin ke-4, atau dengan izin, Conference on Cooperation among East Asian Countries for Palestinian Development (CEAPAD) IV di Malaysia.
“Antara tumpuan kerjasama melalui CEAPAD adalah pembinaan kapasiti dan kerjasama teknikal bagi memperkasa rakyat Palestin, menyelaras bantuan pembangunan serta berkongsi kepakaran dalam bidang tadbir urus, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.
“Kerjasama antara Malaysia dan Jepun melalui CEAPAD ini adalah salah satu usaha Kerajaan bagi mengukuhkan solidariti antarabangsa kepada Palestin. Pada 7 Mac 2025, Yang Berhormat Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi. Mesyuarat tergempar ini antara lain akan membincangkan perkembangan terkini di Semenanjung Gaza, termasuk penguatkuasaan gencatan senjata dan pembangunan semula Gaza,” ujarnya. – UMNO Online