Kes Hina Agama: Dr Akmal Mahu Tindakan Sama Ke Atas Semua Pihak
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berharap hukuman setimpal dikenakan kepada mana-mana pihak yang mempersenda agama.
Beliau berkata hukuman tersebut perlu dilaksana secara adil tanpa terkecuali kepada mana-mana individu.
“Saya menyokong apabila tiga penyampai radio yang mempermainkan isu sensitif bagi penganut Hindu dikenakan tindakan.
“Seperti kenyataan saya sebelum ini mengenai isu pak cik jagung yang mana kita tidak boleh menerima norma buat dahulu baru minta maaf dan selesai.
“Satu tindakan hukuman perlu diberikan kepada mereka ini dan tiada siapa pun yang boleh terkecuali dalam tindakan ini tidak kira agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada itu turut sama bertanya perkembangan terkini berkenaan tindakan beberapa individu yang mempermainkan agama Islam.
“Saya juga nak tanya pada pihak berkuasa, jika tiga penyampai radio ini telah disiasat dan dikenakan hukuman oleh majikan mereka, apa perkembangan bagi kes Cecillia Yap dan Harith Iskandar yang memperlekehkan nama Nabi Muhammad dan agama Islam?
“Undang-undang terpakai untuk semua, bukan terpilih mengikut sokongan orang berpengaruh,” ujar beliau.
Semalam tular video penyampai radio bagi segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir memohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, mereka juga dijangka hadir ke Bukit Aman pada hari ini.
Sebelum ini, pada Januari isu kontroversi dikaitkan dengan pelawak dan pelakon Harith Iskander turut sama mencetuskan pertikaian berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam. Individu dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’ dalam komennya juga didakwa menghina nama Nabi Muhammad SAW. – UMNO Online