34 Tahun UMNO Sabah Bukan Sekadar Angka, Lonjak Pembangunan Negeri – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin berpandangan ulang tahun UMNO Sabah ke-34 yang disambut baru-baru ini bukan sekadar angka semata-mata tetapi jauh lebih daripada itu memberi makna kepada seluruh ahli di negeri berkenaan.
Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Kimanis, 34 tahun parti berkenaan di negeri tersebut memberikan pengalaman yang amat bermakna bukan sahaja daripada sudut kebersamaan malah permuafakatan dan segalanya-galanya dalam usaha melonjakkan lagi perjuangan UMNO Sabah.
“34 tahun amat bermakna. Detik-detik kejayaan, detik-detik pergolakan, detik-detik kejatuhan dan sebagainya lagi. Begitu juga kita dapat rasa dalam tempoh tersebut UMNO mempunyai pengalaman yang lebih besar, pengorbanan, kebersamaan kita dalam perjuangan. Yang ini semuanya telah mematangkan kita dalam politik.
“Kita pernah naik, dan kita pernah jatuh, ini cukup mematangkan kita dalam politik. Yang saya fikir pada kali ini, dengan adanya sambutan UMNO 34 tahun melonjakkan semangat kita semua untuk terus bergerak ke depan.
“Jadi saya fikir UMNO-BN itu tetap ada di hati nurani rakyat Sabah cuma kita harus mematangkan gerak kerja kita, dan kita kena lebih hebat bagaimana untuk memperkasa dan menguruskan segala macam persepsi yang ada pada UMNO,” katanya kepada UMNO-Online.
Kata beliau lagi, UMNO-BN Sabah mempunyai kompetensi yang hebat dan mampu bergerak dengan baik dalam usaha menyelami hati rakyat Sabah dalam usaha memastikan UMNO-BN mendapat kepercayaan mereka.
“Soal UMNO-BN, saya ingat kita sudah ada kompetensi yang cukup kuat. Tapi bagaimana kita ingin menyelami hati rakyat dalam keadaan dan politik dinamika, kita ingin memiliki UMNO yang cukup hebat, yang bermutu sehingga kita berjaya menyesuaikan dengan keadaan semasa pada hari ini.
“Insya-Allah saya yakin dengan pimpinan yang ada… saya fikir UMNO-BN adalah platform yang terbaik untuk mengangkat nasib rakyat dan juga lebih memajukan Sabah ini di masa hadapan, insya-Allah.
“Begitu juga UMNO bahagian Kimanis… bersama-sama dengan kepimpinan UMNO Sabah yang lain…kita optimis untuk sama-sama mengangkat negeri dan seluruh rakyat Sabah. Ayuh kita sama-sama maju ke depan berdepan cabaran demi kejayaan UMNO-BN,” tambahnya.- UMNO Online