MoU PRR: Babak Baharu Selesaikan Isu Perumahan Rakyat Pahang

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangi untuk Program Residensi Rakyat (PRR) merupakan satu babak baharu untuk menyelesaikan isu perumahan rakyat, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kerajaan Negeri Pahang untuk Penyerahan dan Pengurusan Rumah-Rumah di Bawah PRR pada Isnin.

“Terima kasih Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib di atas kunjungan.

“Sebaik tamat kunjungan hormat ini, saya menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara KPKT bersama Kerajaan Negeri Pahang untuk Penyerahan dan Pengurusan Rumah-Rumah di Bawah PRR di Negeri Pahang Darul Makmur.

“MoU ini menandakan satu babak baharu dalam usaha menyelesaikan isu perumahan rakyat, khususnya untuk memastikan pengurusan dan penyerahan rumah di bawah PRR dilaksanakan dengan lebih efisien serta berkesan,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap agar kerjasama kerajaan pusat dan Negeri Pahang dapat mempercepatkan proses penempatan rakyat.

“Kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri ini diharap dapat mempercepatkan proses penempatan rakyat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat Pahang. Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, beliau juga telah mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga Perumahan dan Hartanah, sebuah badan yang menguruskan aspek perumahan di Negeri Pahang.

“Mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHP) sebentar tadi.

“Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab dalam merancang, membangun, dan menguruskan aspek perumahan serta hartanah di negeri Pahang, LPHP terus komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat selari dengan keperluan, kepentingan rakyat serta pembangunan mampan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit