Kerajaan Seimbang Bantu Rakyat Tanpa Jejas Simpanan Masa Depan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kerajaan perlu mengambil langkah seimbang untuk membantu rakyat tanpa menjejaskan simpanan masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjawab beberapa soalan berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

“Semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjawab persoalan berkaitan dengan KWSP. Beberapa perkara turut dijelaskan termasuk prinsip asas KWSP sebagai simpanan hari tua yang perlu dijaga demi masa depan rakyat.

“Perdana Menteri turut menyentuh tentang keseimbangan yang perlu diambil Kerajaan dalam membantu rakyat hari ini tanpa menjejaskan simpanan masa depan.

“Pada masa sama, KWSP mengumumkan dividen simpanan syariah tertinggi sejak tahun 2017 iaitu 6.3 peratus dan ianya merupakan satu pencapaian positif di sebalik cabaran ekonomi semasa,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan tidak akan memberi kelonggaran berlebihan untuk pengeluaran simpanan di KWSP yang bertujuan simpanan untuk hari tua pencarum.

Anwar bagaimanapun berkata, KWSP boleh memberi pertimbangan khas untuk pengeluaran simpanan pencarum namun melibatkan kes-kes tertentu yang kritikal meskipun di luar syarat dan kaedah sedia ada.

Jelas beliau, ini kerana keputusan membuka ruang yang terlalu luas untuk akses pengeluaran simpanan KWSP hanya akan ‘menghukum’ pencarum ketika bersara.

“Ada kalanya beberapa pengecualian dan kelonggaran diberikan dan banyak kes rayuan khusus diberi pertimbangan khas terutama dalam keadaan keuzuran dan sebagainya.

“Jadi kalau ada spesifik yang dibangkitkan Padang Terap (Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid), saya percaya KWSP boleh berikan pertimbangan seperti mana yang mereka lakukan sekarang.

“Katalah keadaan mendesak, walaupun tak ikut kaedah yang diberikan sekarang,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit