Johor Terus Perkukuh Peranan Hab Ekonomi Serantau – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, Johor  merupakan platform penting bagi negeri berkenaan.

Kata beliau pemukiman berkenaan membuka ruang untuk Johor memperkenalkan inisiatif pelaburan berimpak tinggi, seperti sektor pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, dan tenaga hijau.

“Syukur Alhamdulillah, saya bersama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri MITI, berkesempatan menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, Johor.

“Kehadiran lebih 400 delegasi dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste, termasuk Menteri-Menteri Ekonomi, Timbalan Menteri, dan pegawai kanan, membuktikan kepercayaan rantau ini terhadap Johor sebagai enjin pertumbuhan baharu dalam ekonomi ASEAN,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Kata beliau lagi Johor kini bukan sekadar penerima pelaburan, tetapi pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.

“Dengan kedudukan strategik dan sokongan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Johor semakin kukuh sebagai pintu utama perdagangan dan pelaburan ASEAN yang menghubungkan rantau ini ke pasaran global.

“Momentum ini wajib dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, mempercepatkan integrasi ekonomi digital dan merancakkan inovasi hijau yang mampan.

“Dengan semangat kerjasama serantau yang kukuh, Johor bersedia untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN, bukan sahaja dari segi pelaburan tetapi juga dalam memastikan manfaat ekonomi ini dapat dinikmati oleh rakyat. Insya-Allah, Johor akan terus maju sebagai nadi pertumbuhan ekonomi serantau,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit