Fahami Struktur, Jangan Nafi Pembangunan Yang Telah Dilaksana UMNO Sabah
KOTA KINABALU, 4 Mac – Penolong Setiausaha UMNO Sabah, Alfian Sambas, menegur Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid, agar lebih memahami struktur pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas.
Bidasnya, jika Sahar dan pemimpin Pas ingin membangkitkan isu seperti keadaan jalan yang teruk dan bekalan air yang tidak mencukupi, maka mereka perlu menyedari bahawa perkara tersebut berada di bawah tanggungjawab kerajaan hari ini yang bukan diterajui oleh UMNO/Barisan Nasional.
“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah parti pemerintah maka merekalah yang bertanggungjawab memastikan masalah infrastruktur dan bekalan asas diselesaikan dengan baik.
“Saya memahami bahawa Pas di Sabah masih baharu dalam arena politik. Oleh itu, adalah penting bagi mereka untuk mengkaji dan memahami terlebih dahulu sebelum menyalahkan UMNO dalam perkara yang bukan menjadi tanggungjawab kami. Jangan mengeluarkan kenyataan tanpa asas yang kukuh.”
“Jika Sahar kurang memahami perkara ini, saya menyarankan agar beliau mendalami semula struktur pentadbiran kerajaan negeri. Jangan mengeluarkan kenyataan yang tidak berpijak pada realiti. Dalam masa yang sama, jangan menafikan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh UMNO dalam membangunkan negeri Sabah,” tegas Alfian dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi UMNOSabah Online.
Terdahulu, Sahar dilapor mengeluarkan kenyataan bahawa janji-janji yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk menyelesaikan masalah air, elektrik dan jalan raya di Sabah perlu diteliti sebelum dipercayai.
Dalam hal ini, Alfian mengingatkan bahawa UMNO telah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Sabah, termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, pembangunan infrastruktur jalan raya, penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS), peningkatan kemudahan kesihatan, program kebajikan rakyat, serta pembangunan sektor pelancongan.
Selain itu, katanya, hampir 50,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) telah dibina bagi menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada golongan memerlukan.
“Jangan sesekali menafikan sumbangan UMNO dalam membawa kemajuan kepada negeri ini. Saya juga ingin mengingatkan pemimpin dalam GRS bahawa ketua-ketua parti mereka dahulu pernah bersama UMNO dalam usaha membangunkan Sabah. Jangan berpura-pura lupa sejarah dan cuba menafikan hakikat tersebut.”
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan negeri ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk UMNO, yang telah meletakkan asas kukuh untuk kemajuan yang dinikmati rakyat Sabah hari ini.
“Sebagai pemimpin, kita perlu menghargai sejarah dan menghormati perjuangan bersama demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online