Wan Rosdy Sifatkan Keberanian, Disiplin Tentera Darat Inspirasi Untuk Semua
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tarikh 1 Mac mengingatkan akan sejarah panjang perjuangan Tentera Darat dalam mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keamanan rakyat Malaysia.
Menurut beliau keberanian, disiplin, serta kesetiaan yang ditunjukkan adalah satu inspirasi kepada semua.
“Keringat, pengorbanan, dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi membuktikan bahawa anda semua adalah benteng pertahanan negara yang sejati.
“Terima kasih kepada semua anggota Tentera Darat sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Wan Rosdy seterusnya menambah Di Pahang, mereka amat menghargai peranan Tentera Darat bukan sahaja dalam aspek pertahanan, tetapi juga dalam membantu rakyat ketika menghadapi bencana, terutama banjir serta misi kemanusiaan yang lain.
“Sumbangan anda semua amat besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjaga.
“Sekali lagi, saya mengucapkan Selamat Hari Tentera Darat Ke-92 kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia. Semoga pasukan ini terus cemerlang dan menjadi kebanggaan negara,” ujarnya.- UMNO Online