Tingkatkan Amalan, Eratkan Ukhuwah Sesama Insan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR. 1 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Ramadan kali ini menjadi medan kepada seluruh umat Islam untuk meningkatkan amal ibadat masing-masing.

Selain itu kata beliau lagi Ramadan kali ini juga diharap dapat meningkatkan lagi tautan kasih sayang sesama insan dan mengukuhkan ukhuwah antara satu sama lain.

“Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita kembali dipertemukan dengan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan.

“Insya-Allah umat Islam di seluruh Malaysia akan memulakan ibadah berpuasa pada 1 Ramadan 1446H bersamaan dengan 2 Mac 2025.

“Semoga Ramadan kali ini menjadi medan untuk kita memperbanyakkan amal soleh, memperkukuh nilai kasih sayang sesama insan, serta mempererat ukhuwah dalam membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Ahmad Zahid seterusnya mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di negara ini semoga masing—masing dikurnikan keberkatan.

“Saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak serta mendoakan agar kita semua dikurniakan keberkatan dan keampunan sepanjang bulan yang mulia ini,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit