Harga Murah Mantai Puasa Parlimen Jelebu Beri Manfaat Masyarakat Setempat
JELEBU, 1 Mac – Program mantai puasa yang diadakan di Parlimen Jelebu bukan sahaja memberi ruang buat penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan menjelang Ramadan, malah dengan harga yang murah berbanding pasaran.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata program berkenaan menghimpun ketiga-tiga program jualan iaitu Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah, dan Jualan Nismilan Prihatin.
Menurut beliau mantai cukup sinonim dengan masyarakat di Negeri Sembilan dan kebiasaannya masyaakat setempat akan membeli barang keperluan.
“Program ini bertujuan membolehkan orang ramai membuat persiapan Ramadan dengan membeli barang keperluan pada harga lebih murah iaitu 30 hingga 40 peratus berbanding harga pasaran.
“Pemberian barangan percuma atas dasar berkongsi rezeki khusus buat penduduk di Parlimen Jelebu dan DUN Pertang,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Jelebu seterusnya menambah pendekatan menghimpunkan tiga agensi yang kebiasaan terlibat dalam jualan murah membabitkan Kerajaan Negeri dan Pusat.
“Semoga dengan pendekatan ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat setempat menyediakan keperluan masing-masing menjelang Ramadan,” ujarnya.
Antara yang diberi percuma adalah 192 ekor ayam, 200 peket minyak masak, 81 papan telur ayam selain 100 set kombo terdiri sepapan telur, sepeket minyak masak dan sebekas rebung.
Selain itu harga daging, tulang dan organ lembu turut dijual pada harga RM24 sekilogram dan sebanyak empat ekor lembu disediakan bagi jualan murah berkenaan.- UMNO Online