PTPTN: Dr Zambry Nasihatkan Peminjam Tampil Berunding Untuk Bayaran Balik
KUALA LUMPUR, 28 Feb – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihatkan para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menghadapi masalah untuk tampil berunding bagi proses pembayaran balik.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, PTPTN telah menyediakan pelbagai cara dan inisiatif untuk memudahkan peminjam melunaskan balik pinjaman mereka.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan peminjam PTPTN serta kemudahan membayar balik pinjaman. Sehingga kini, terdapat pelbagai cara dan inisiatif dilakukan dalam usaha memudahkan peminjam terutamanya mereka yang menghadapi kesukaran membuat bayaran balik pinjaman.
“Pertama, memohon penangguhan bayaran balik sekiranya menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan. Kedua, penstrukturan atau pun penjadualan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan peminjam.
“Ketiga, bayaran balik pinjaman PTPTN hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian untuk memberi ruang kepada peminjam membuat persediaan sewajarnya serta memperoleh pendapatan yang stabil sebelum memulakan bayaran balik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurutnya, sejumlah 2.1 juta notis peringatan telah dikeluarkan kepada peminjam yang gagal melaksanakan bayaran balik mengikut jadual ditetapkan.
“Sehubungan dengan itu, suka saya menasihatkan mana-mana peminjam yang menghadapi masalah membuat bayaran balik pinjaman mereka untuk tampil atau hadir berunding di mana-mana cawangan PTPTN di seluruh negara bagi mendapatkan kaedah penyelesaian terbaik.
“Selain itu, beberapa peminjam PTPTN yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan atas kegagalan bayaran balik pinjaman PTPTN. Sehingga akhir Januari 2025, sejumlah 2.1 juta notis peringatan telah dikeluarkan kepada peminjam yang gagal melaksanakan bayaran balik mengikut jadual ditetapkan.
“Tindakan ini juga telah berjaya menarik peminjam untuk berunding dengan PTPTN. Peminjam yang tidak menghiraukan notis ini, tindakan yang lebih tegas akan diambil berdasarkan SOP ditetapkan. Kita mengharapkan kepada mereka akan segera datang ke pihak PTPTN bagi mengadakan perbincangan dengan pihak PTPTN,” katanya lagi. – UMNO Online