Perkasa Pelaburan Bumiputera: Kejayaan PMB Investment Berhad, Potensi Perkenal Semula Amanah Saham MARA
KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah kepada Pelaburan MARA Berhad Investment (PMBI) atas kejayaan yang dicapai dalam pengurusan dana.
Kata Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO, kejayaan yang diperolehi membuktikan bahawa pengurusan dana yang strategik dan berlandaskan prinsip syariah mampu mencipta nilai jangka panjang untuk para pelabur.
“Dengan pencapaian ini, MARA melihat potensi besar untuk memperkukuhkan kembali Amanah Saham MARA, sebagai satu lagi platform pelaburan yang boleh menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Bumiputera.
“Syabas kepada pasukan PMB Investment Berhad atas pencapaian luar biasa ini. MARA akan terus menyokong dan meneroka peluang baharu dalam memastikan kekuatan ekonomi Bumiputera terus diperkasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Seterusnya, Dr Asyraf bersyukur kerana PMBI, subsidiari di bawah Pelaburan MARA telah merangkul sembilan anugerah berprestij di LSEG Lipper Fund Awards 2025 merentasi lima dana pelaburan utama.
Katanya, ini satu pengiktirafan besar terhadap prestasi cemerlang dana-dana patuh syariah yang diuruskan seperti berikut:
1. PMB Shariah Dividend Fund – Equity Malaysia Income (Islamic) 3-years
2. PMB Dana Bestari – Equity Malaysia Income (Islamic) 5-years
3. PMB Shariah Equity Fund;
a. Equity Malaysia Diversified (Provident) 3 and 5 years
b. Equity Malaysia Diversified (Islamic) 3 and 5 years
4. PMB Shariah Tactical – Mixed Asset MYR Flexible (Islamic) 3 and 5 years
5. PMB An-Nur Waqf Income Fund – Mixed Asset MYR Balanced (Islamic) 3-years
Dalam perkongsian di laman sosialnya itu, Dr Asyraf menerima kunjungan Datuk Mohd Idzwan Izuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBI di pejabatnya hari ini, di sini.
Katanya, PMBI merupakan anak syarikat MARA yang berperanan dalam mengurus dan memperkasa pelaburan strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Bumiputera dalam pelbagai sektor, termasuk pengurusan dana dan aset kewangan. – UMNO ONLINE