Hampir Lumpuh… Namun UMNO Sabah Bangkit Nyala Obor Perjuangan

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar yakin dan penuh percaya 34 tahun perjuangan UMNO di negeri berkenaan benar-benar memberi inspirasi kepada seluruh ahli serta pimpinan parti pelbagai peringkat.

Apatah lagi kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, tahun ini merupakan tahun bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mungkin diadakan pada bila-bila masa dan itulah yang pastinya melonjakkan lagi semangat perjuangan masing-masing.

“Kita boleh melihat bagaimana perjalanan UMNO Sabah sepanjang 34 tahun hingga ke hari ini dengan melalui pelbagai cabaran dan juga pengalaman pahit manis, suka duka. Sepanjang tempoh berkenaan sebenarnya apabila UMNO melangkah kaki ke Sabah ia membawa banyak perubahan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan pembangunan masyarakat.

“Jadi saya amat berbangga bersama-sama dengan ahli-ahli UMNO yang lain kerana diberi kesempatan untuk menyambut ulang tahun UMNO Sabah ke-34 dan ini akan memberi satu suntikan semangat lebih-lebih lagi tahun ini adalah tahun pilihan raya.

“Ini kita lihat sebagai satu pemangkin bagaimana UMNO Sabah boleh terus mendapat anjakan untuk terus bergerak ke depan,” katanya kepada UMNO-Online.

Bung seterusnya mengimbau bagaimana pada tahun 2018 apabila UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) bersama rakan-rakan parti komponen yang lain mengalami kekalahan di peringkat pusat pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya pada waktu itu UMNO negeri berkenaan hampir-hampir lumpuh apabila pimpinan parti pelbagai peringkat ‘mengangkat kaki’ meninggalkan UMNO dan menyertai parti lain.

“Pada ketika itu UMNO dilihat sudah lemah dan matlamat mereka bukan lagi berselindung bahkan mereka menyatakan bahawa mereka telah membubarkan UMNO Sabah sedangkan mereka tidak berhak pun untuk membubar UMNO Sabah.

“Pada ketika itu saya telah diberi amanah untuk menggalas sebagai Ketua UMNO Sabah dan dalam keadaan serba-serbi kekurangan serta sebagai pembangkang dalam keadaan saya ditindas, ditekan, diugut dan macam-macam lagi.

“Tetapi alhamdulillah sepanjang perjalanan sehingga tahun 2025 ini, UMNO Sabah pada ketika ini… bukan kita membanggakan diri tetapi hakikatnya UMNO Sabah telah menjadi sebuah parti yang memberi ancaman kepada kebanyakan parti lain sehinggakan ramai yang berhasrat untuk bekerjasama dengan kita.”

Dalam hal ini, Bung menjelaskan bahawa parti melakukan pertimbangan sebelum membuat keputusan.

“Apa pun UMNO Sabah kena mempertimbangkan dengan sebaik mungkin dengan siapa kita bergabung pada pilihan raya negeri yang akan datang ini kerana ia adalah berdasarkan pengalaman-pengalaman yang pahit dan pernah ditipu dan sebagainya lagi. Jadi kita tidak mahu perkara ini berulang buat kali kedua lagi,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit