UMNO Sabah Wujud Hasil Pengorbanan Pemimpin Lama – Samasuddin
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Perjuangan UMNO di Sabah bukan bermula hari ini, tetapi ia adalah kesinambungan usaha yang dibina oleh pemimpin terdahulu sejak sekian lama, kata Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop.
Samasuddin berkata, UMNO Sabah wujud kerana ada pemimpin yang telah membuka jalan dan ada pejuang yang telah mengorbankan tenaga bagi memastikan negeri ini terbela.
Katanya, semua pihak perlu mengenang jasa dan pengorbanan wira-wira yang telah lama menanam benih perjuangan UMNO khususnya di Sabah.
“Nama besar yang perlu kita kenang termasuklah Tun Datu Mustapha Datu Harun yang merupakan pejuang kemerdekaan Sabah dan membawa Melayu Islam ke Sabah.
“Selain itu, Tun Said Keruak yang merupakan tokoh perpaduan dan kestabilan Sabah serta Tun Sakaran Dandai yang telah menyebarkan pengaruh UMNO dan menyatukan rakyat Sabah di bawah satu payung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis sambutan ulang tahun UMNO Sabah ke -34, di Kompleks Sukan Tawau, pada Ahad lalu.
Samasuddin yang juga Jawatankuasa Pelaksana sambutan ini berkata, telah tercipta sejarah kerana buat julung kalinya majlis ulang tahun UMNO Sabah diadakan di luar Kota Kinabalu.
“Bumi Tawau dan zon enam menjadi saksi bahawa perjuangan UMNO Sabah tidak hanya berpusat di ibu negeri sahaja, tetapi telah meresap ke setiap jiwa hati rakyat Sabah.
“Pemilihan UMNO Bahagian Kalabakan sebagai tuan rumah adalah bukti bahawa UMNO bukan hanya mendengar suara rakyat di bandar, tetapi di setiap desa, ladang dan kampung serta di pelusuk negeri,” katanya.
Beliau berkata, perhimpunan ini juga membuktikan bahawa UMNO Sabah masih kuat, teguh dan hidup di hati rakyat.
“Presiden kita Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bersama kita.
“Justeru, saya sangat terharu dengan kehadiran semua pemimpin dan ahli-ahli UMNO dari seluruh Sabah bersama-sama meraikan sambutan ini di Tawau,” katanya lagi. – UMNO Online