Jujur Dalam Persahabatan, Bukannya ‘Tikam-Menikam’ – Jafry
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata perkara utama dan antara faktor penting dalam hubungan politik adalah berpaksikan kepada kejujuran selain menghormati antara satu sama lain.
Bagi beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, politik bukanlah semata-mata siapa yang paling kuat atau sebaliknya, namun ia adalah tanggungjawab dan tumpuan terhadap kepentingan rakyat serta negeri Sabah.
“Berikutan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai UMNO buka pintu kerjasama dengan mana-mana parti baru-baru ini, UMNO-BN Sabah sentiasa berlapang dada dalam membina kerjasama politik yang kukuh demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
“Namun, perkara paling utama dalam hubungan politik adalah sikap saling menghormati dan kejujuran antara rakan kerjasama. Kita ingin tegaskan bahawa dalam berkawan, biarlah jujur. Politik bukan sekadar soal siapa lebih kuat atau siapa lebih berkuasa, tetapi soal amanah dan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini.
Sehubungan itu beliau menyeru agar masing-masing meletakkan wadah politik sebagai landasan perjuangan dan bukannya saling tikam-menikam antara satu sama lain.
“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar menjadikan politik sebagai wadah perjuangan yang matang dan bermaruah. Kita mesti mewariskan contoh yang baik kepada generasi hari ini. Jangan lagi ada budaya tikam-menikam, berpura-pura berkawan tetapi sebenarnya beragenda lain.
“UMNO-BN Sabah kekal berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang bersih dan ikhlas. Kita akan terus bergerak ke hadapan dengan tekad untuk membina Sabah yang lebih stabil, sejahtera, dan dihormati,” ujarnya.- UMNO Online