FELCRA Berhad Berinovasi, Tingkat Kapasiti Pengeluaran Tanpa Dana Kerajaan – Ahmad Jazlan

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas sokongan yang diberikan dalam merealisasikan projek ternakan di daerah Rompin.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata projek ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“FELCRA Berhad menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menambah sepuluh reban lagi di Rompin tanpa menggunakan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

“Langkah ini menunjukkan usaha FELCRA Berhad untuk terus berinovasi dan meningkatkan kapasiti pengeluaran tanpa bergantung pada sumber kewangan kerajaan, sekaligus memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara.

“FELCRA Berhad juga merancang untuk melaksanakan sistem ternakan yang serupa di dua lagi lokasi, termasuk di Kuala Lipis, Pahang dan Bagan Datuk, Perak. Ini adalah langkah strategik dalam usaha memperkukuhkan industri ternakan negara dan memberikan impak positif kepada ekonomi setempat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau juga Ketua UMNO Bahagian Machang berkata kompleks ini merupakan pencapaian besar dalam industri penternakan dan keterjaminan makanan negara.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif FELCRA Berhad untuk memperkasa industri penternakan di Malaysia, kompleks ini dilengkapi dengan teknologi moden dan fasiliti yang komprehensif.

“Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1.5 juta ekor ayam setahun, kompleks ini dijangka dapat memenuhi permintaan pasaran dengan lebih cekap, menghasilkan ayam berkualiti tinggi serta memastikan keterjaminan makanan negara,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, komitmen FELCRA Berhad terhadap pembangunan sektor pertanian dan agro makanan terus diperkukuhkan melalui projek ini, yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat dan terus berusaha untuk memperkukuh industry demi kemakmuran negara.

“FELCRA Berhad bertekad untuk menjadi sebuah agensi yang bukan sahaja menyumbang kepada sektor peladangan tetapi juga memainkan peranan aktif dalam isu keterjaminan makanan negara.

“Usaha ini adalah manifestasi komitmen FELCRA Berhad untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat bekalan makanan yang mencukupi dan berkualiti,” ujarnya.

Projek ini dijangka dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pengeluarkan makanan serta memperkukuhkan sektor penternakan sebagai pemacu ekonomi negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit