Program Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat Tanda Solidariti Rakyat Kepada Institusi Diraja

KUANTAN, 26 Feb – Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan satu Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat bagi menunjukkan solidariti rakyat Pahang kepada Institusi Diraja Pahang.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Haji Zulkifli Haji Yaacob, pada Selasa, program ini juga merupakan manifestasi penyatuan rakyat Negeri Pahang yang bernaung di bawah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.

“Program ini merupakan manifestasi kepada penyatuan rakyat Negeri Pahang yang bernaung di bawah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan juga fahaman politik.

“Program ini akan diadakan pada 27 Februari 2025 (Khamis) bermula jam 7.00 petang
di Masjid Negeri dan dimulai dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan yasin, doa
selamat dan solat Isya’.

“Seterusnya, program akan diteruskan di padang MBK1 dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang Datuk Haji Badli Shah Alauddin,” katanya.

Menurut beliau, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan berangkat bercemar duli menghadiri program di Masjid Sultan Ahmad Shah ini.

Beliau mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke program ini dengan memakai pakaian kebangsaan dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan mengadakan kawalan keselamatan sepanjang program ini berjalan.

“Orang ramai dijemput hadir dan digalakkan memakai pakaian kebangsaan. Sebarang pakaian yang berlambangkan atau mewakili mana-mana parti politik adalah tidak dibenarkan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan sepanjang program ini berlangsung dan orang ramai diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.”

Beliau dalam kenyataannya turut berharap pelaksanaan program ini dapat memartabatkan insitusi Diraja di negeri ini dan menyatukan rakyat.

“Kerajaan Negeri berharap agar pelaksanaan program ini akan mencapai objektif penyatuan rakyat dalam memartabatkan institusi Raja Berdaulat di Negeri Pahang Darul Makmur. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya. – PAHANGMEDIA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit