Pemangku Sultan Johor Terima Menghadap Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata dalam sesi santapan petang bersama itu pebagai isu dibincangkan terutama membabitkan kepentingan negeri Johor.
“Menjunjung kasih ke hadapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas limpah perkenan menerima menghadap untuk santapan petang bersama.
“Suatu kesempatan yang amat berharga, di mana pelbagai perkara berkaitan Negeri Johor serta hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan diperbincangkan,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa Tunku Mahkota Ismail juga menzahirkan keprihatinan baginda terhadap pembangunan di Johor.
Menerusi hantaran sama Ahmad Zahid turut sama mendoakan agar Tunku Mahkota Ismail dikurniakan kesihatan, keafiatan untuk terus memayungi negeri Johor.
“Sesungguhnya, setiap titah nasihat dan mutiara pandangan DYAM Tunku adalah pedoman bernilai dalam usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memakmurkan negeri dan negara.
“Menjunjung kasih jua atas keprihatinan, wawasan, dan kepimpinan DYAM Tunku yang sentiasa mendahulukan kepentingan Johor dan rakyatnya.
“Semoga Allah SWT mengurniakan keafiatan, taufik, dan keberkatan yang berpanjangan kepada DYAM Tunku serta seluruh Kerabat Diraja Johor,” ujar beliau. – UMNO Online