Masjid Institusi Dakwah Terunggul, Bukan Gelanggang Fitnah Pentaasub Politik

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Majlis Ulama UMNO Malaysia menempelak segelintir pihak yang menyalahguna institusi masjid demi kepentingan politik.

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata ini kerana tindakan imam yang taasub dan fanatik kepada parti politik berpotensi memberi pengajaran yang menyeleweng daripada kehendak sebenar.

“Ketika itu masjid menjadi gelanggang fitnah dan zon penyebaran ideologi sesat yang mencemar nama baik Islam di negara ini. Cita-cita kerajaan untuk menjadikan masjid sebagai tempat menyatupadukan rakyat tidak akan berhasil dan akan gagal sama sekali.

“Masjid dan surau hendaklah dijadikan sebagai institusi ibadah dan dakwah yang terunggul. Ia semestinya dijadikan tempat untuk mendapat ilmu dan memberi ilmu. Sekurang-kurangnya ilmu-ilmu berkaitan dengan fardhu ain dan amalan harian umat Islam setempat,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dusuki titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai pelindung agama Islam di negara ini adalah wajar untuk memberi peringatan kepada umat Islam.

Jelas beliau ini kerana baginda memikul tanggungjawab besar memastikan pengurusan masjid bahkan pentadbiran majlis dan Jabatan Agama Islam di negeri dapat memastikan pengurusan agama di negara tidak dicemari dan tidak disalahgunakan oleh sebilangan penunggang agama bagi kepentingan politik kepartian mereka.

“Titah baginda bahawa membiarkan perbuatan penyalahgunaan institusi masjid terus berlaku umpama membiarkan barah menular lebih luas yang bakal menimbulkan perpecahan ummah.

“Gesaan supaya Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, jawatankuasa masjid dan surau serta ahli-ahli kariah hendaklah sensitif perkara ini dan melakukan pemantauan yang rapi dan mengenalpasti pihak yang berselindung di sebalik jubah agama yang berperanan songsang itu,” ujar beliau.

Terdahulu media melaporkan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah menggantung sementara tugas empat imam di negeri ini susulan aduan tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu pada 31 Januari lalu.

Tindakan itu berkuat kuasa 6 Februari lepas membabitkan imam masjid iaitu dua di Teluk Intan dan masing-masing satu di Parit Buntar dan Kuala Kangsar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit