Majlis Media Malaysia Langkah Positif Dalam Dunia Informasi Tanpa Sempadan

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berpandangan bahawa penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) adalah bertepatan pada masanya dengan pelbagai cabaran dunia informasi tanpa sempadan kini.

Menurutnya, penggubalan Rang Undang-undang (RUU) MMM 2024 ini suatu langkah positif bagi menubuhkan suatu pertubuhan yang menetapkan standard dan tatalaku bagi pengamal media supaya beretika dan bertanggungjawab.

Katanya, dalam dunia informasi yang bebas tanpa sempadan dengan keperluan suatu ‘standard’ etika kewartawanan yang harus dipatuhi oleh pengamal media.

“Keahlian Majlis Media Malaysia adalah bersifat sukarela dan tidak diwajibkan mengikut fasal yang sedia ada dalam RUU dan ini adalah berbeza dengan badan profesional lain seperti Majlis Peguam dan Majlis Perubatan Malaysia yang mempunyai keahlian automatik berdasarkan kuasa pendaftaran, pensijilan dan kebenaran pengamalan profesional ahli masing-masing.

“Kewibawaan majlis untuk mengawal selia pengamal media supaya mengikut standard MMM, sedangkan badan ini tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen atau kebenaran beramal kepada mana-mana pengamal media atau wartawan.

“Majlis Media dilihat sebagai suatu badan yang bersifat ‘paper tiger’ kerana tiada kuasa mengeluarkan apa-apa pengesahan kepada ahlinya, seperti Kad Perakuan Media (KPM) yang masih lagi dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia,” beliau berkata demikian pada perbahasan RUU Majlis Media Malaysia, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Shamsulkahar, MMM boleh berperanan sebagai pelindung kepada orang awam sekiranya mereka dianiayai oleh pengamal media yang tidak bertanggungjawab dengan berita atau pelaporan yang berunsur fitnah atau tidak tepat.

“Fasal 6 (2)(d) memperuntukkan bahawa MMM boleh menjalankan siasatan aduan awam terhadap pengamal media melalui mekanisme ketidakpuasan hati.

“MMM mempunyai kuasa perundangan untuk memerintahkan permohonan maaf dibuat secara terbuka kepada mangsa sekiranya berita yang dilaporkan media tersebut bersifat fitnah, ataupun adakah Majlis Media mempunyai kuasa untuk mengarahkan ganti rugi dibayar kepada mangsa kewartawanan yang tidak beretika,” katanya lagi.

Seterus kata Shamsulkahar lagi, dalam keinginan memperbaiki kedudukan negara di dalam Indeks Akhbar Dunia, adalah wajar bagi pihak berkuasa mereformasikan struktur kawal selia media dalam membentuk persekitaran media yang lebih kondusif, demokratik, bertanggungjawab dan beretika dapat dicapai.

“Agenda penubuhan MMM haruslah bergerak seiring dengan agenda-agenda reformasi perundangan yang lain, seperti penelitian semula terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, dan juga beberapa peruntukan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Apakah kerajaan bercadang untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 misalnya, supaya memberi kuasa kepada Majlis Media Malaysia ini supaya lebih berautoriti dalam memantau pengamal media,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit