STEM Punya Peranan Signifikan Dan Relevan Untuk Memacu Negara – Zambry
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata data rasmi dari Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menunjukkan bilangan graduan warganegara Malaysia dalam bidang STEM yang menceburi bidang pekerjaan yang sama adalah seramai 76,431 orang iaitu bersamaan dengan 63.4 peratus bagi tahun 2023.
Menurutnya, Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sememangnya mempunyai peranan yang signifikan dan relevan sebagai pemboleh daya yang memacu pembangunan negara berteraskan teknologi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
“KPT proaktif dengan menggerakkan kerjasama strategik merentas dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mengupayakan langkah-langkah meningkatkan jumlah pelajar, kualiti pendidikan STEM serta penawaran dan permintaan dalam sektor STEM.
“KPT memandang serius perkara ini memandangkan bakat STEM memainkan peranan penting dalam memacu pengukuhan industri dan sektor ekonomi negara.
“KPT juga sentiasa mencari pendekatan terbaik bagi memperkukuh peranan IPT dalam STEM iaitu dengan melihat kepada isu pembangunan bakat negara khususnya dalam takungan bakat bidang berteknologi tinggi serta merangka bidang pengajian baharu yang dapat memenuhi keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan Titah Di Raja, Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan fokus kepada pembangunan bakat ini adalah industry-ready talent bagi sektor industri yang berpotensi.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh KPT untuk memperkasa STEM, misalnya kolaborasi industri di peringkat nasional melalui Government Industry Coordination Body (GITC).
“GITC berperanan sebagai badan perantara yang menghubungkan Kementerian dan industri yang memudahcara kerjasama pihak industri dengan institusi bukan sahaja dalam TVET malah dalam bidang STEM keseluruhannya.
“Terdapat sebanyak 60 persatuan industri yang mewakili lebih daripada 10,000 syarikat telah menandatangani sebanyak 101 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GITC,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, melalui syarikat industri ini, pelbagai inisatif GITC sedang diusahakan untuk manfaat Kementerian dan IPT.
“Seperti penubuhan GITC Council of Experts bagi memperkukuh rundingan, pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) dengan industri, penempatan internship dan job matching melalui Pusat Penempatan (Placement Centre) GITC.
“Promosi melalui Career Fair & Career Talks serta membangunkan Occupational or Industry Standards and Practices (OISP) bagi meningkatkan kualiti program TVET dan STEM,” ujarnya. – UMNO Online