Pemuda UMNO Bukan Sekadar Sayap, Tetapi Medan Lahirkan Pemimpin
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Pemuda UMNO bukan sekadar sebuah sayap tetapi medan melahirkan pemimpin yang terus berjuang demi parti dan rakyat, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin
Menurut beliau ramai pemimpin besar negara hari ini termasuk Perdana Menteri lahir daripada Pemuda UMNO.
“Sayap ini telah melahirkan pemimpin yang berjiwa perjuangan, yang mendukung prinsip parti, dan yang membawa suara rakyat ke peringkat tertinggi.
“Jika ada kelemahan, tugas kita adalah memperbaiki dan mengukuhkan, bukan meremehkan usaha mereka yang masih setia berkhidmat untuk parti. UMNO adalah parti yang mendukung demokrasi, dan setiap pandangan dihormati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya sebagai menjawab kritikan segelintir pihak membabitkan peranan Pemuda UMNO dalam parti
Mengulas lanjut kata Mohd Zulfadli sebagai ahli parti, adalah lebih baik memberi sumbangan membina daripada sekadar melontarkan kritikan yang boleh melemahkan semangat perjuangan.
“Pemuda UMNO akan terus bekerja, turun ke akar umbi, dan memastikan perjuangan parti ini terus relevan.
“Kami tidak akan berhenti hanya kerana pandangan sinis, kerana sejarah membuktikan bahawa Pemuda UMNO sentiasa menjadi pencetus perubahan dalam parti dan negara,” ujar beliau. – UMNO Online