Johor Bakal Tubuh Sekretariat Khas Bahas Hal Ehwal FELDA – Zahari

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Kerajaan Negeri Johor bakal menubuhkan sebuah sekretariat khas bagi membincangkan hal ehwal pembangunan FELDA di negeri ini.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Kasap, berkata langkah ini adalah satu usaha proaktif dalam memastikan kebajikan dan kepentingan lebih 180,000 warga FELDA di 73 Rancangan FELDA seluruh Johor terus terpelihara.

Menurut beliau, penubuhan sekretariat khas ini adalah satu inisiatif di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, untuk mendengar secara terus permasalahan serta harapan komuniti FELDA di negeri ini.

“Sekretariat ini akan menjadi platform utama dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Johor dan FELDA supaya segala isu yang timbul dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, keanggotaan sekretariat ini akan melibatkan pemimpin di setiap peringkat pengurusan FELDA, termasuk wakil peneroka, generasi belia, wanita, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan FELDA.

Justeru, kesemua pihak akan memainkan peranan penting dalam memastikan segala perancangan dan pelaksanaan program pembangunan FELDA berjalan dengan lancar serta menepati keperluan masyarakat setempat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit