JKR Selesaikan Reka Bentuk Projek Naik Taraf Jalan Jerantut, Lipis Dan Gua Musang – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Jabatan Kerja Raya Malaysia telah memulakan kerja-kerja memuktamadkan skop, rekabentuk dan kerja-kerja fizikal di tapak Jerantut, Lipis dan Gua Musang, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, dengan siapnya projek menaik aras jalan di tiga lokasi serta penggantian jambatan di tiga lokasi iaitu Sungai Sepial, Sungai Teh dan Sungai Kerak akan menyelesaikan masalah banjir dan mengurangkan kecuraman di jalan tersebut.
“Melalui RP5 RMKe-12, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi telah meluluskan sebanyak RM121 juta bagi projek menaik aras Jalan FT234 Jalan Jerantut- Kuala Lipis dari Seksyen 42.00 hingga Seksyen 48.00 dan dari Seksyen 55.00 hingga Seksyen 57.00, daerah Jerantut, Pahang. Lokasi Bukit Mentimun dan Bukit Atap adalah di dalam jajaran projek yang telah diluluskan ini.
“Skop kerja bagi projek tersebut adalah menaik aras jalan kepada R3 sepanjang 3KM (Seksyen 43.05, 47.30 dan 56.00). Penggantian tiga jambatan (Sungai Sepial, Sungai Kerak dan Sungai Teh), kerja-kerja geoteknik di Bukit Mentimun (Seksyen 47.3 – 46.9) dan Bukit Atap (Seksyen 46.0 – 45.5).
“Ia turut melaksanakan kerja elektrik, kerja perlindungan alam sekitar, pemasangan perabot jalan, membina sistem perparitan jalan, pengalihan utiliti dan pengambilan tanah,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan dari Khairil Nizam Khirudin (Jerantut) minta Menteri Kerja Raya mempertimbangkan untuk menaik taraf jalan seperti menarah bukit agar dapat mengurangkan kecuraman lereng Jalan Persekutuan,
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata jalan Jerantut hingga Kuala Lipis merupakan jalan tunggal dua lorong dengan anggaran lebar maksimum jalan 6.0 M dan panjang keseluruhan hampir 61.66 KM iaitu bermula dari Jalan Bentong hingga Gua Musang di bandar Kuala Lipis dan berakhir di di jandar Jerantut.
“Jalan FT 234 merupakan jalan darat utama yang menghubungkan kawasan antara Jerantut ke Kuala Lipis selain daripada Jalan Maran-Jerantut-Benta (FT64) yang mempunyai jarak perjalanan lebih jauh serta keadaan jalan berselekoh.
“Setiap kali musim tengkujuh, laluan ini akan terputus disebabkan banjir di seksyen 43.05 (Kampung Sepial), Seksyen 47.30 (jambatan Sg. Kerak) dan Seksyen 56.00 (Jambatan Sg. Teh). Terdapat juga masalah kenderaan berat terkandas akibat daripada kecuraman jalan di kawasan Bukit Mentimun dan Bukit Atap yang menyebabkan laluan sering terhalang,” katanya lagi.
Pada masa yang sama Ahmad turut menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun) minta Menteri Kerja Raya menyatakan perancangan Kementerian bagi membaiki kerosakan dan menaik taraf infrastruktur termasuk jalan raya dan jambatan serta masalah hakisan di Parlimen Dungun berikutan beberapa siri banjir besar yang melanda.
Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memandang serius terhadap aduan-aduan berhubung Jalan Persekutuan yang rosak akibat bencana seperti banjir.
“Jalan Persekutuan di daerah Dungun adalah sepanjang 302.85 KM yang melibatkan 16 bilangan laluan dan merupakan Jalan Persekutuan yang disenggara oleh syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan.
“Pada tahun 2023 hingga 2024 Kementerian ini telah memperuntukkan sebanyak RM 29.14 juta di bawah program penyenggaraan berkala pavemen, berkala bukan pavemen, penyenggaraan kecil jambatan serta penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi melalui Arahan Kerja (AK) dan oleh JKR melalui kaedah perolehan jabatan.
“Kerja-kerja penyenggaraan tersebut melibatkan 24 bilangan kerja berkala pavemen, 18 bilangan kerja berkala bukan pavemen, enam bilangan kerja penyenggaraan kecil jambatan dan 23 bilangan kerja penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di Jalan Persekutuan Daerah Dungun dan semua kerja ini telah disiapkan sepenuhnya,” katanya lagi.
Tambah beliau, bagi pelaksanaan kerja tahun 2025, jalan-jalan yang rosak telah dikenal pasti oleh pihak syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan yang dilantik dan pihak JKR telah menyediakan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) bagi tahun 2025 berdasarkan kerosakan jalan.
“Kelulusan kerja tertakluk senarai keutamaan kerja yang disediakan oleh JKR berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan bagi keseluruhan jaringan Jalan Persekutuan di bawah seliaan Kementerian ini.
“Sehingga Januari 2025, Kementerian ini telah memperuntukkan sebanyak RM 12.53 juta di bawah program penyenggaraan berkala pavemen dan penyengaraan berkala bukan pavemen yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi melalui Arahan Kerja (AK) bagi membaiki Jalan Persekutuan yang rosak akibat banjir di Parlimen Dungun.
“Kerja-kerja penyenggaraan tersebut melibatkan enam bilangan kerja berkala pavemen dan 8 bilangan kerja berkala bukan pavemen dan semua kerja dijangka siap pada bulan Mac 2025,” ujarnya. – UMNO Online