Ahmad Zahid Ziarah Keluarga Allahyarham Ishsam, Doa Diberi Ketabahan

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia baru-baru ini.

Ketika kunjungan Timbalan Perdana Menteri itu di kediaman mereka di Ipoh, beliau menzahirkan simpati sambil berharap ahli keluarga diberi ketabahan atas kehilangan insan tercinta,

“Tiada kata yang mampu menggambarkan betapa besar ujian ini bagi mereka. Kehilangan insan tersayang yang dikasihi dan dihormati ramai pasti meninggalkan kesedihan yang mendalam.

“Saya menzahirkan rasa simpati yang tulus dan berkongsi kedukaan bersama keluarga Allahyarham.

“Pemergian beliau bukan sekadar kehilangan bagi keluarga dan UMNO Negeri Perak tetapi juga bagi kita semua yang mengenali jasa serta keperibadian beliau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut sama mendoakan agar Allahyarham Ishsam ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada ahli keluarga. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Insya-Allah,” ujar beliau.

Allahyarham Ishsam, 59, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang, pada Sabtu disebabkan serangan jantung.

Berasal dari Bidor, beliau adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan selain pernah beraksi untuk skuad Perak dan Negeri Sembilan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit