Tok Mat Hasan Turun Padang Santuni Masyarakat Rembau

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Timbalan Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan telah turun padang pada Ahad untuk menyantuni masyarakat Rembau.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan 2025 kepada masjid dan surau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota dan Chembong di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

“Alhamdulilah, saya telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan 2025 kepada masjid dan surau dalam DUN Kota serta Chembong di Dewan IPD Rembau.

“Sebanyak 18 buah masjid dan 58 surau dalam DUN Chembong telah menerima sumbangan hari ini manakala 24 masjid dan 71 surau pula dari DUN Kota menerima sumbangan sama,” katanya.

Seterusnya, beliau telah ke Kuala Sawah untuk merasmikan gelanggang futsal Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan berharap agar aktiviti sukan tersebut dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat.

“Dari IPD Rembau, saya ke Kuala Sawah untuk merasmikan gelanggang futsal JPKK Kuala Sawah. Turut berlangsung Kejohanan Futsal Kuala Sawah yang disertai 17 pasukan futsal dari kawasan setempat.

“Tahniah saya ucapkan kepada pasukan futsal Tahfiz Al Falah Kuala Sawah yang muncul sebagai johan. Semoga aktiviti sukan sebegini dapat memupuk lagi semangat perpaduan sesama masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 12 projek yang telah dilaksanakan di bawah Kementerian Luar Negeri termasuklah Projek Kampung Angkat Madani.

“Alhamdulillah, selesai Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani Kementerian Luar Negeri di Dewan Mini Kampung Kanchong.

“Terdapat 12 projek yang telah dilaksanakan di bawah Kementerian Luar Negeri melibatkan tiga agensi pelaksana iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan.

“Turut merasmikan gelanggang futsal Kampung Kanchong yang selesai dinaik taraf menerusi Projek Kampung Angkat Madani Kementerian Luar Negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit