Sebanyak RM22 Bilion Laksana Projek RTB Di Seluruh Negara – Ahmad Zahid
KOTA KINABALU 24 Feb – Kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah banjir dengan memperuntukkan RM22 billion untuk melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata peruntukan berkenaan termasuk kerja-kerja menaik taraf RTB yang telah dan sedang dikenal pasti, khususnya di kawasan yang kerap dilanda banjir di negara ini.
“Contohnya, kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Penampang yang dilanda banjir sehingga empat kali setahun. Projek RTB yang dilaksanakan mengikut fasa telah dimulakan, dan beberapa projek fasa seterusnya telah disenaraikan bagi menyelesaikan masalah banjir tersebut, katanya kepada pemberita selepas melawat projek RTB Kawasan Persekitaran Lido Bandaraya Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang.
Ahmad Zahid berkata kira-kira RM800 juta peruntukan tambahan akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 untuk mengatasi banjir di kawasan Penampang dan Putatan.
Beliau berkata sebanyak 14 projek RTB akan dilaksanakan di Sabah iaitu dua projek tebatan banjir telah siap dan dalam tempoh labiliti kecacatan 10 projek sedang dalam pembinaan, dan dua projek dalam fasa prapelaksanaan.
“Di Sarawak pula, 10 projek tebatan banjir telah dirancang dengan dua daripadanya telah siap dibina dan masih dalam tempoh liabiliti kecacatan. Dua projek sedang dalam pembinaan dan enam lagi berada dalam fasa prapelaksanaan” tambahnya.
Mengenai kelewatan projek RTB Ahmad Zahid menjelaskan bahawa isu tersebut bukan disebabkan oleh Jabatan Pengairan dan Saran (JPS) atau pihak kontraktor, tetapi lebih kepada masalah pemindahan utiliti dan pengambilan tanah.
Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Sabah memainkan peranan penting dalam memperceраtkan pelaksanaan projek RTB, serta dalam membantu rakyat yang terkesan akibat bencana tersebut.
Sementara itu beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan sangat berpuas hati dengan kesiapsiagaan serta pengurusan bencana yang berlaku di seluruh negara baru-baru ini.
Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) don semua agensi yang terlibat terutamanya jawatankuasa banjir di peringkat negeri atau daerah,” katanya. – BERNAMA