Rais Yasin Santuni Rakyat Menerusi Program Ziarah Kasih Demi Rakyat

MELAKA, 24 Feb – Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin meneruskan agenda menyantuni dan membantu rakyat menerusi Program Ziarah Kasih.

Ujarnya, program ini dianjurkan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Rumput serta Wanita UMNO Cawangan Paya Rumput yang bertujuan menyalurkan bantuan serta meninjau sendiri keperluan dan permasalahan rakyat setempat.

“Bermula seawal pagi, kami telah menjelajah ke 30 buah rumah di setiap solok dan taman di bawah pengurusan dan penyelarasan JPKK Paya Rumput.

“Usaha murni ini telah dimulakan sejak dahulu lagi dan diteruskan hingga kini atas satu niat murni iaitu bagi menyalurkan bantuan dan meninjau sendiri isu keperluan yang dihadapi oleh rakyat setempat khususnya di kawasan DUN Paya Rumput,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Dalam program tersebut, Rais turut menyerahkan bantuan kepada Adnan Muhammad di Jalan Damai Ulu, Paya Rumput.

Turut hadir ialah Pengerusi JPKK Paya Rumput, Latif Omran; Setiausaha JAPERUN Paya Rumput, Khawari Fazmi, serta wakil pengurusan JPKK Paya Rumput.

“Saya yakin program sebegini membolehkan warga kepimpinan mendengar sendiri denyut nadi rakyat, demi memastikan tiada mana-mana golongan rakyat yang terpinggir.

“Semoga usaha ini membawa manfaat dan dapat meringankan beban yang ditanggung lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan bakal tiba.

“Kita akan terus komited dalam memberikan khidmat terbaik demi kesejahteraan rakyat DUN Paya Rumput,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit