Kompetensi Guru Dalam Keperluan Digital… Manndzri Dapatkan Penjelasan Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib hari ini bertanya berkenaan sejauh mana strategi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendepani perkembangan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan di negara ini.
Beliau juga bertanya kompetensi guru menerusi bidang digital yang menjadi semakin penting sebagai peneraju dalam memperkenalkan teknologi dan menggunakan alat digital dalam pengajaran mereka.
“Peranan guru dalam memanfaatkan ruang digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran dilihat semakin penting sejajar dengan Anjakan 7 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) memanfaatkan teknologi maklumat dan telekomunikasi bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
“Bagaimanakah dengan tahap kompetensi digital para guru pada masa kini, apakah langkah yang diambil KPM untuk perkasa kesediaan guru-guru?
“Apakah terdapat sebarang usaha silang kementerian, agensi atau swasta untuk memenuhi keperluan digital khususnya sekolah-sekolah di luar bandar” katanya.
Manndzri berkata demikian ketika pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan hari ini di Dewan Rakyat.
Menjawab kepada persoalan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Who berkata kementerian sentiasa memastikan program pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan kepada guru-guru bagi meningkatkan pengetahuan kemahiran, kepakaran, seiring dengan keperluan sedia ada.
Antaranya pelaksanaan program My Digital Teacher yang digariskan dalam rangka tindakan Blueprint Ekonomi Digital Malaysia.
“Usaha untuk membangunkan kompetensi guru ditingkatkan dengan mengupayakan pendidik dan juga pemimpin pendidik untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam sistem pendidikan negara.
“Pada masa sama juga aktiviti-aktiviti turut dilaksana untuk memperkasa guru-guru dalam bidang digital serta kerjasama dengan rakan-rakan strategik seperti kerjasama dengan Pixlr, microsoft.
“Kesemua ini dapat meningkatkan lagi kemahiran guru dalam penggunaan digital atau AI dalam bilik darjah,” ujar beliau. – UMNO Online