AI Bantu Kurangkan Kos Operasi Kilang Pengusaha Sawit – Johari

KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa pengusaha sawit tidak perlu khuatir dengan kepakaran teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut Naib Presiden UMNO itu, ini kerana melalui langkah tersebut ia mampu memberi nilai tambah dalam membantu industri untuk berkembang maju lantaran membantu mengurangkan beban operasi kilang seperti penyelengaraan dan juga tenaga kerja asing.

“Kita tidak perlu takut dengan teknologi ini paling penting ia boleh mengubah profil industri daripada bergantung kepada tenaga kerja asing kepada pekerja tempatan.

“Sebagai contoh, banyak teknologi memerlukan kepakaran pekerja tempatan untuk memantau AI yang sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari dalam pada itu turut berkongsi lawatannya ke kilang sawit di Kuala Kangsar, Perak pada November tahun lepas yang menggunakan teknologi AI untuk memproses minyak sawit mentah (CPO).

“Pada 2024 yang lalu lebih kurang dalam bulan September saya datang merasmikan satu kilang sawit AI yang pertama di Kuala Kangsar.

“Saya pergi sebab saya tertarik dengan idea nak buat AI punya teknologi masuk dalam kilang kelapa sawit untuk memproses CPO.

“Apa yang kita dapat lihat selepas empat bulan satu kilang yang mempunyai kapasiti hanya 45 metrik tan satu jam, boleh dapat kurangkan kos untuk memproses kos kehilangan minyak dan penyelenggaraan sebanyak RM1.6 juta.

“Jangkaan dalam setahun purata boleh menjimatkan pekerja asing yang membuat kerja-kerja animasi 3D ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit